Petaling Jaya, 13 Jun 2023 - Pada 7 dan 8 Jun 2023, Tuan Yang Terutama Presiden Indonesia, Joko Widodo, telah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia. Semasa lawatan itu, Presiden Jokowi telah bertemu dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di mana kedua-dua negera telah bertukar tangan instrumen kerjasama dua hala yang menggariskan isu-isu penting.
Salah satu isu dua hala yang dikemukakan ialah pengharaman minyak sawit oleh Kesatuan Eropah yang telah memberi kesan ekonomi kepada Malaysia dan Indonesia, sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Kedua-dua negara mengalami kerugian jutaan hasil pendapatan negara, hanya kerana terdapat persepsi buruk bahawa industri minyak sawit kita tidak memenuhi piawaian alam sekitar dan hak asasi manusia. Untuk mengurangkan kesan sekatan ekonomi Eropah terhadap kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia perlu berganding bahu, bukan sahaja menangani isu ini, tetapi meningkat lagi pengeluaran minyak sawit demi memastikan keuntungan yang mampan bagi kedua-dua negara. Selain daripada mengadakan pertemuan dengan pihak Kesatuan Eropah untuk meningkatkan kepatuhan, terdapat langkah lain yang perlu diambil termasuk mengukuhkan usaha ‘sustainability’ dan ‘Environmental, Social and Governmental’ (ESG) dalam industri minyak sawit, demi mempamerkan komitmen kita dalam isu alam sekitar dan hak asasi manusia.
Melalui kenyataan rasmi Wisma Putra, kedua-dua Perdana Menteri dan Presiden telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu global dan serantau, terutamanya berkaitan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Organisasi serantau itu telah menerima kritikan hangat akibat peranannya yang kurang berfungsi di rantau Asia Tenggara dalam menangani isu penting seperti perebutan wilayah di Laut China Selatan dan krisis politik Myanmar. Isu-isu berikut sukar mencapai sebarang kemajuan akibat prinsip tidak campur tangan ASEAN. Bagi meningkatkan keberkesanan dan fungsinya sebagai sebuah organisasi serantau, kami menggesa negara anggota ASEAN untuk memainkan peranan yang lebih proaktif. Kita sebagai sebuah organisasi seharusnya berusaha menanggani isu tersebut dan bukannya membiarkan begitu sahaja. Kami ingin mencadangkan Indonesia dan Malaysia untuk meningkatkan peranan mereka dalam ASEAN dengan menjadi negara anggota yang aktif dan berfungsi. Ini akan membolehkan kedua-dua negara menjadi saudara besar yang bukan sahaja mempamerkan contoh yang baik, malah menetapkan ‘precedent’ untuk bagaimana negara-negara anggota ASEAN harus bertindak.
Ketegangan antara kuasa besar dalam komuniti antarabangsa semakin meningkat. Malah, sejarah mungkin berulang lagi apabila dunia global mula membahagikan dirinya kepada sistem bipolar. Terdapat kemungkinan bahawa Perang Dingin akan tercetus lagi seperti yang berlaku di antara Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet (USSR), pada tahun 1947 hingga 1991. Namun hari ini, China pula telah muncul sebagai sebuah kuasa besar yang semakin berpengaruh. China juga telah menjalinkan hubungan sekutu dengan Rusia untuk mencabar hegemoni AS. Rentetan itu, banyak negara telah memilih dan menyertai pakatan dengan mana-mana blok, dengan harapan mendapat lebih banyak kelebihan atau pengaruh. Memilih pihak adalah langkah serampang dua mata, kerana ia mungkin memberikan lebih banyak kelebihan tetapi mungkin juga menyebabkan ketegangan dengan blok lawan.
Kedua-dua AS dan China telah menyasarkan India sebagai strategi untuk meluaskan lagi pengaruh mereka di rantau Asia. Untuk meningkatkan pengaruh China, negara tersebut telah melaksanakan 'Necklace of Diamonds' strategi untuk menghalang India daripada menyertai ‘North Atlantic Treaty Organization’ (NATO) Plus dan menjadi pro-AS. Ini merupakan sebuah strategi geopolitik dengan mengawal negara-negara di sekitar India melalui pelbagai taktik seperti perdagangan ekonomi, membentuk koridor perindustrian dan dasar Perangkap Hutang. Ini akan mengekang dan mengehadkan dasar luar India kerana negara jirannya terikat dengan China.
Bukan itu sahaja, AS juga berminat menjadikan India sekutunya. Buat masa ini, tiada keputusan rasmi mengenai India menyertai NATO Plus. Jika India akhirnya membuat keputusan untuk menyertai mana-mana blok, pasti akan terdapat perubahan drastik bagi politik di Asia, kerana ia akan mengheret negara Asia lain ke dalam konflik itu juga. Disebabkan kedudukan India yang berpengaruh di rantau Asia, AS dan NATO berminat untuk memastikan India menyertai blok mereka. Sebelum ini, NATO hanya memberikan tumpuan kepada ‘Global North’ sehingga mereka menyedari betapa pentingnya India. AS juga sejak pentadbiran Trump dan Biden, tidak begitu menekankan hubungan AS-ASEAN sehingga menyebabkan hubungan semakin lemah, berbanding semasa pentadbiran Obama melalui dasar ‘Pivot to Asia’. Tidak lama lagi, AS juga akan menyedari bahawa sokongan kuasa barat semata-mata, tidak mencukupi kerana mereka juga memerlukan Asia untuk meningkatkan pengaruh mereka. Oleh itu, tidak hairanlah hari ini, kedua-dua AS dan NATO melihat betapa pentingnya kedudukan India untuk menembusi ASEAN. India boleh menjadi kunci untuk AS melobi ASEAN supaya cenderung ke arah blok mereka.
Oleh demikian itu, tidak perlu bagi ASEAN untuk menyertai mana-mana pakatan atau berpihak ke mana-mana blok, kerana ia hanya akan menyebabkan ASEAN terjebak ke dalam sistem bipolar. Seterusnya, meningkatkan kemungkinan Perang Dingin. ASEAN harus mengekalkan dan mengukuhkan dasar ‘non-alignment’ iaitu berpendirian neutral. Malah, ASEAN harus berdiri sebagai sebuah organisasi serantau yang kukuh tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kuasa besar asing yang hanya mementingkan agenda peribadi mereka. Memilih pihak hanya akan mengheret ASEAN ke dalam konflik AS-China yang tidak menguntungkan. Untuk memastikan ASEAN berada dalam kedudukan neutral, kedua-dua Malaysia dan Indonesia perlu mengekalkan kedudukan neutral terlebih dahulu melalui dasar luar negara tersendiri. Apabila kedua-dua negara terus mengamalkan prinsip berkecuali sebagai dasar luar mereka, barulah mereka boleh menyeru negara-negara anggota ASEAN tentang kepentingan dasar ‘non-alignment’.
Serikat Malaysia berharap Presiden Jokowi menerima lawatan yang produktif dengan kerajaan Malaysia demi memanfaatkan kepentingan kedua-dua negara melalui kemajuan ekonomi, kerjasama serantau dan kedudukan ASEAN. Kami menantikan kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia untuk mengemudi hala tuju ASEAN ke arah matlamat yang jelas dalam menangani isu-isu penting di rantau Asia Tenggara. Dengan kedudukan komuniti global yang tidak stabil, ASEAN perlu mula menyusun strategi dan rancangan bagi beberapa dekad akan datang untuk melindungi kesejahteraan semua negara anggota. Kedudukan kita dalam komuniti global boleh melindungi kita daripada sistem bipolar yang tidak stabil, atau mengheret kita ke dalam konflik.
-TAMAT-
Comentarios